fb fb fb fb fb

Dua lelaki Myanmar ditahan, palsukan slip permohonan kad UNHCR

Foto hiasan

KOTA BHARU, 21 April- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan mematahkan kegiatan pemalsuan slip permohonan kad Pertubuhan Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) dengan penahanan dua lelaki warga Myanmar di Pasir Puteh, kelmarin.
  
Kedua-dua lelaki itu, masing-masing berusia 28 dan 30 tahun yang juga etnik Rohingya itu diberkas dalam Ops Kutip/Sapu di sebuah rumah sewa di Kampung Changgal, Pasir Puteh, sekitar pukul 2.00 pagi.

Timbalan Pengarah Imigresen Negeri (Kawalan), Ruzaana Mohamed berkata, dalam operasi itu pihaknya turut merampas wang tunai RM140,000, dua unit komputer riba dan lima slip permohonan kad UNHCR palsu.
 
Siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki itu dipercayai terbabit dengan sindiket mengeluarkan slip permohonan kad UNHCR palsu dengan bayaran RM2,000 seorang.

"Kita jalankan operasi ini berdasarkan aduan dan juga berdasarkan risikan. Jadi kita pergi rumah ke rumah. Berdasarkan dengan keadaan sindiket, kita merasakan sindiket telah lama melakukan perkara ini. Kita kena siasat dulu," katanya kepada pemberita di sini.

Suspek pertama ditahan mengikut Seksyen 55 D Akta Imigresen 1959/63 (pemalsuan dan pindaan bagi pengendorsan atau dokumen) dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 (penduduk dilarang membenarkan imigran haram untuk masuk dan tinggal di premis).
 
Manakala, seorang lagi ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan siasatan lanjut masih dijalankan sama ada lelaki itu menjadi pembantu kepada suspek pertama.
 
Dalam perkembangan lain, pihaknya juga berjaya menahan seorang lelaki dan tiga wanita warga Myanmar kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
 
Mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 30 tahun itu dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk tindakan lanjut.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI