fb fb fb fb fb

Dua pembantu penguasa JKDM didakwa terima rasuah RM12,500

Dua pembantu penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM12,500

KUALA TERENGGANU, 4 Jun - Dua pembantu penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM12,500.
 
Tertuduh, Che Mohd Taufik Che Arif berdepan 13 pertuduhan, manakala Mohd Afiq Ikhwan Ramli pula satu pertuduhan.

Mengikut kertas pertuduhan, Che Mohd Taufik didakwa menerima suapan sebanyak RM9,000 ketika bertugas sebagai pembantu penguasa JKDM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Che Taufiq didakwa menerima suapan terbabit daripada pemilik Syarikat Kalos Enterprise melalui pemindahan wang secara dalam talian ke akaun bank tertuduh sebagai dorongan untuk tidak memeriksa lori kargo milik syarikat itu yang membawa keluar barangan dari Kargo KLIA.

Sementara itu, Mohd Afiq Ikhwan pula didakwa menerima suapan berjumlah RM3,500 bagi kesalahan yang sama.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Jertih, Besut antara 17 Disember 2017 hingga 12 April 2023.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Mahkamah menetapkan 18 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN