fb fb fb fb fb

Pembantu penguasa kastam didakwa 90 kali terima rasuah

Tertuduh, Ahmad Emin Nazrul Ahmad Nazrin (tengah) ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU, 4 Mei- Seorang pembantu penguasa kastam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas 90 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM84,800 daripada sebuah syarikat pengangkutan kargo dalam tempoh enam tahun bermula 2017 hingga 2023.

Tertuduh, Ahmad Emin Nazrul Ahmad Nazrin, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan-pertuduhan itu, tertuduh sebagai ejen di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) iaitu Pembantu Penguasa Kastam Gred WK19 yang bertugas di JKDM Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri suapan antara RM50 hingga RM4,100 daripada pemilik syarikat Kalos Enterprise.

Suapan diterima secara beransur-ansur melalui 90 transaksi dalam talian ke akaun banknya di Maybank Berhad di Jalan Mahmood, bermula 20 Mei 2017 sehingga 3 September 2023.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjarakan selama tempoh maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi perkara kesalahan itu, jika suapan itu boleh dinilai atau bersifat kewangan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd ‘Afif Ali manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Adhwa’ Afiqah Mohd Azmi.

Sebelum itu, Mohd ‘Afif menawarkan jaminan RM40,000 kepada tertuduh dan tertuduh melalui peguamnya merayu agar jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh memberi kerjasama baik kepada SPRM dan menyerah diri sebelum dihadapkan ke mahkamah berkenaan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM 20,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh menjelaskan jaminan terbabit.

Tertuduh yang kini bertugas di Pejabat Kastam Kelana Jaya, Selangor tersebut turut dikenakan syarat tambahan iaitu tidak boleh mengganggu saksi-saksi pendakwaan dan dirinya atau wakil tidak boleh mengakses komputer kastam atau dokumen berkaitan selain menyerahkan pasport kepada pihak berkuasa serta melapor diri di Pejabat SPRM Putrajaya setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 21 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.

ZEHRA BINTI ZAMBRI