fb fb fb fb fb

Lelaki ditahan bunuh bapa saudara guna gunting

Suspek ditahan polis sekitar kawasan kejadian di Kampung Haji Baki, malam tadi

KUCHING, 4 Jun- Polis menahan seorang lelaki yang disyaki membunuh bapa saudaranya di Kampung Haji Baki dekat Padawan di sini, Sarawak, malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi dalam kejadian sekitar pukul 8.00 malam itu, suspek, 27, didakwa telah menikam mangsa, 55, menggunakan sebilah gunting.

"Mangsa ditikam pada bahagian dada dan mati di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi RTM pagi tadi.

Tambah Mohd Irwan, polis telah memohon perintah reman ke atas suspek daripada Mahkamah Kuching pagi tadi dan suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan.

Dalam operasi malam tadi, polis berjaya menahan suspek kira-kira pukul 8.30 malam ketika dia bersembunyi tidak jauh dari tempat kejadian.

Siasatan awal mendapati, suspek sebelum itu bertikam lidah dengan mangsa sebelum bertindak menyerang mangsa dengan gunting terbabit.

Kes itu disiasat di bawah seksyen 302, kanun keseksaan kerana membunuh.

SITI AISHAH MD ISA