fb fb fb fb fb

Dua kapal tangki disyaki pindah minyak mentah tanpa kebenaran ditahan

Dua kapal disyaki sedang melakukan aktiviti 'ship to ship' (STS) yang mencurigakan di kedudukan tiga batu nautika selatan Tanjung Dahan.

ALOR GAJAH, 27 Mac- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menahan dua kapal tangki disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak mentah tanpa kebenaran di perairan Kuala Linggi di sini, petang semalam.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata pusat operasi menerima maklumat mengenai aktiviti mencurigakan di perairan berkenaan kira-kira 4.15 petang sebelum memaklumkan kepada pasukan bot peronda Maritim yang sedang melaksanakan Op Murni/Op Tiris/Op Khas Pagar Laut.

"Sebaik sahaja bot ronda Maritim tiba di kawasan dilaporkan, terdapat dua kapal disyaki sedang melakukan aktiviti 'ship to ship' (STS) yang mencurigakan di kedudukan tiga batu nautika selatan Tanjung Dahan.

"Pemeriksaan mendapati kapal tangki berkenaan sedang memindahkan kargo minyak disyaki minyak mentah ke sebuah lagi kapal tangki lain tanpa mempunyai sebarang dokumen kebenaran untuk menjalankan aktiviti itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kapal tangki pertama sepanjang 60 meter yang berdaftar di Panama dikendalikan 26 kru termasuk nakhoda terdiri 16 warga China, Sri Lanka (empat) dan Myanmar (enam).

Beliau berkata kapal tangki kedua sepanjang 43 meter itu pula didaftarkan di Palau dan dikendalikan 22 kru, termasuk nakhoda terdiri 19 warga Rusia dan masing-masing seorang warga Georgia, Latvia dan Indonesia.

Kedua-dua kapal berkenaan masing-masing ditahan pada 4.30 petang dan 6 petang bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 491B(1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 kerana menjalankan aktiviti STS tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia dan 491B(1)(L) OPS 1952 kerana berlabuh tanpa kebenaran.

Beliau berkata bagi Seksyen 491B(1)(K) OPS 1952 jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI