fb fb fb fb fb

Dua individu ditahan hina YDP Agong, ugut jenayah Perdana Menteri

Kedua-dua kes masih di peringkat siasatan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 28 November - Dua individu ditahan di Kelantan, masing-masing bagi membantu siasatan kes berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri melalui media sosial.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata kedua-dua individu terbabit merupakan warga tempatan, berusia dalam lingkungan 34 dan 37 tahun.

"Tangkapan pertama, di Kota Bharu pada Ahad lepas melibatkan individu disyaki pemilik atau pengendali akaun Facebook ‘Che Mat Cik Po’ kerana memuat naik komen kecenderungan menghasut bagi mendatangkan kebencian atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

"Lelaki terbabit direman empat hari hingga 30 November bagi membantu siasatan," katanya menerusi kenyataan.

Razarudin berkata tangkapan kedua dibuat hari ini (Selasa) di Jalan Padang Tembak, juga di Kota Bharu melibatkan seorang lelaki dipercayai pemilik atau pengendali akaun TikTok @jaiadani89 berhubung hantaran berbaur ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lelaki itu direman tiga hari hingga 30 November ini.

Beliau berlata kedua-dua kes masih di peringkat siasatan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Sehubungan itu polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Polis turut mengingatkan orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif terutama melibatkan kegentaran awam dan keselamatan negara melalui media sosial.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN