fb fb fb fb fb

Dua anggota Maritim Malaysia cedera dalam kejadian tembakan

Bintara Muda Maritim Zainal Abad Komel 45 tahun, mengalami kecederaan di bahagian di mata kanan

LAHAD DATU, 7 April- Dua anggota penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu mengalami kecederaan selepas berlaku kejadian tembakan di perairan Kunak kira-kira pukul 8.40 pagi tadi.
 
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu Komander Maritim Dr. Suzanna Razali Chan dalam satu kenyataan berkata, mangsa Ketua Bot Banggi 48, Bintara Muda Maritim Zainal Abad Komel 45 tahun, mengalami kecederaan di bahagian di mata kanan.

"Laskar Kanan Maritim Prayrie De Cuella Jimin 35 tahun cedera di kedua-dua belah tangan semasa sedang bergelut membalas tembakan penjenayah.
 
"Empat lagi anggota penguat kuasa tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
 
Berdasarkan laporan awal, seramai tiga orang suspek bersenjatakan pistol telah melepaskan empat das tembakan ke arah Bot Banggi 48 ketika bot berkenaan dan cuba menghampiri sebuah bot enjin sangkut berwarna biru yang dinaiki suspek untuk tindakan pemeriksaan bagi Op Khas Pagar Laut di kedudukan 0.2 batu nautika timur laut Kampung Pangi, Kunak.
 
"Apabila pasukan peronda cuba menghampiri, suspek telah bertindak melepaskan tembakan bagi mengelakkan daripada anggota bot peronda Maritim Malaysia menghampiri mereka.

"Suspek kemudiannya berjaya melepaskan diri dengan membawa bot tersebut," katanya.
 
Berikutan kejadian terbabit, Maritim Malaysia telah mengatur Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat, pesawat udara, Bahagian Perisikan Maritim serta pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) ke lokasi terbabit bagi menyiasat kes itu dan mengesan kesemua suspek terlibat.    
 
Kedua-dua anggota yang cedera dibawa ke Hospital Kunak untuk rawatan segera.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI