KUALA LUMPUR, 14 Julai - Pasangan suami isteri yang merupakan pempengaruh ditahan 10 Julai lalu disambung reman hari ini kerana disyaki terbabit dalam penyelewangan dana derma awam.
Pasangan suami isteri itu termasuk empat individu direman selama tiga hari sehingga 16 Julai ini selepas perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Siti Zahirah Zaidon.
Permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini berikutan tempoh asal reman kesemua suspek tamat pada hari ini.
Menurut sumber, kesemua suspek iaitu tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 20-an hingga 30-an ditahan kira-kira antara pukul 6.30 petang hingga 11 malam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
Susulan penahanan itu, kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada 11 Julai 2024 dan perintah reman selama empat hari sehingga 14 Julai lalu telah dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.
“Suspek yang merupakan pasangan suami isteri dipercayai melakukan perbuatan tersebut sejak 2020 dengan menyeleweng kutipan derma yang tidak disalurkan dengan cara yang betul.
“Dianggarkan kutipan derma terbabit mencecah kira-kira RM3 juta dan siasatan masih di peringkat awal dan pada masa sama, dua lagi suspek turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes yang sama,” katanya.
Pada 10 Julai lalu, SPRM menahan kesemua suspek kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan sambungan tempoh reman tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.