fb fb fb fb fb

Warga emas antara ditahan dipercayai terbabit edar dadah

FOTO FAIL

GEORGE TOWN, 14 Julai - Polis menahan empat lelaki tempatan termasuk tiga warga emas kerana dipercayai terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah.

Menerusi tangkapan itu, dadah seberat hampir 10 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM178,500 berjaya dirampas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad dalam kenyataan memaklumkan, kesemua suspek ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar George Town,  Ayer Itam dan Bandar Baru, kelmarin.

"Dalam serbuan itu, polis merampas satu paket disyaki dadah jenis heroin, satu plastik lutsinar dibaluti kertas berwarna coklat disyaki herion base, sembilan bungkusan paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin, lima bungkusan plastik lutsinar disyaki syabu dan enam plastik lutsinar dipercayai kafein," kata Hamzah.

Turut disita sebuah kenderaan dan sebuah motosikal.

Hasil risikan mendapati sindiket mula bergiat aktif awal Mac lalu.

Ujian saringan air kencing mendapati tiga suspek positif dadah jenis morfin dan mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah.

Kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siastan.

Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

TETITIA YUSOFF