fb fb fb fb fb

Dipenjara 15 hari lakukan kekerasan, halang tugas penjawat awam

Tertuduh, Mohd Amirul Azmir Md Akhir, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Majistret Alor Setar, Muhammad Zul Hilmi Latif.

ALOR SETAR, 18 Mac- Seorang lelaki dikenakan hukuman penjara selama 15 hari dan denda RM3,500 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam.
 
Tertuduh, Mohd Amirul Azmir Md Akhir, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Majistret Alor Setar, Muhammad Zul Hilmi Latif, pagi tadi.
 
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam iaitu Pembantu Penguatkuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Badi’uzzaman Aziz daripada menjalankan kewajipannya menyebabkan pergelutan berlaku dengan menendang dan mencampakkan bangku kecil kepadanya.
 
Kesalahan itu dilakukan pada pukul 11.38 malam di kawasan Dataran Alor Setar, Lebuh Raya Darul Aman pada 14 Mac lalu.
 
Ketika membacakan keputusannya, Majistret Muhammad Zul Hilmi berkata hukuman penjara bermula dari tarikh sabitan.
 
Tertuduh dikenakan penjara selama lapan bulan sekiranya gagal menjelaskan denda yang dikenakan.
 
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasruna Anhar Nordien, manakala tertuduh diwakili peguam, Zuriyah Mhd Nordin.
 
Dalam kejadian Khamis lalu, sepasukan anggota penguatkuasa MBAS melakukan operasi penguatkuasaan terhadap peniaga yang ingkar menjalankan perniagaan di Dataran Medan Bandar, Alor Setar.
 
Bagaimanapun, situasi tegang berlaku ketika operasi tersebut apabila beberapa individu disyaki peniaga cuba menghalang anggota penguatkuasa MBAS daripada menjalankan tugas mereka.
 
Video kekecohan itu kemudian tular di media sosial hingga menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat.
 
Untuk rekod, sejak dibuka semula kepada orang ramai pada Julai 2022, MBAS tidak membenarkan sebarang aktiviti perniagaan seperti makan dan minum, carboot sale, alat permainan dan kenderaan mikromobiliti dijalankan di kawasan Medan Bandar.
 
 

ZEHRA BINTI ZAMBRI