MELAKA, 6 Disember - Seorang wanita mengaku warga Kemboja yang mencetuskan kontroversi di media sosial dengan mendakwa 'Melayu malas', akan didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, esok.
Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), wanita berusia 47 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan manakala anak lelakinya mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
"Siasatan berkaitan kes itu telah dirujuk ke pejabat Unit Jenayah Am dan Ketenteraman Awam (UJAKA), Pejabat Peguam Negara pada semalam," katanya.
Pada 19 November lalu, sebuah video berdurasi satu minit tujuh saat dimuat naik oleh pemilik akaun media sosial TikTok yang memaparkan seorang perempuan Kemboja telah mengeluarkan kata-kata yang menyentuh sensitiviti masyarakat Melayu, yang mengatakan ‘Melayu malas'.
Video dirakam seorang lelaki itu menunjukkan wanita itu sedang mengadakan penstriman langsung dalam sebuah gedung pakaian muslimah.
Difahamkan, wanita itu merupakan seorang pemilik gedung tekstil yang menjalankan perniagaan jahitan pukal di Skudai, Johor.
Susulan video dan kenyataan kontroversi itu, sebanyak 14 laporan polis diterima melibatkan video wanita tersebut .