fb fb fb fb fb

Ceroboh pelantar minyak: 4 warga Indonesia ditahan bersama alat curi kabel

Foto MARITIM MALAYSIA

KEMAMAN, 4 November - Empat lelaki warga Indonesia diberkas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas menceroboh sebuah pelantar minyak tidak berpenghuni di perairan Terengganu.

Penangkapan dibuat kira-kira pukul 10.30 pagi Ahad lalu di kedudukan kira-kira 139 batu nautika timur laut perairan Kuala Kemaman.
 
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima aduan daripada sebuah syarikat yang merupakan pemilik pelantar minyak terbabit pada hujung bulan lalu.

"Bertindak atas aduan tersebut, aset Maritim Malaysia, KM Sebatik bersama anggota telah digerakkan dan tiba di lokasi terbabit pada pagi 1 November.

"Pemeriksaan awal pihaknya bersama pengurusan pelantar minyak mendapati beberapa kabel elektrik di pelantar berkenaan telah dipotong. Bagaimanapun tiada individu ditemui pada hari pertama operasi," jelasnya.
 
Beliau menambah, pemeriksaan susulan pada hari berikutnya mendapati kabel yang dipotong sehari sebelumnya telah digulung dan disusun rapi.
 
"Selepas melakukan pemeriksaan menyeluruh, Maritim Malaysia berjaya menemui empat lelaki berusia antara 27 hingga 62 tahun bersembunyi di belakang ruang pengudaraan. 
 
"Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua lelaki terbabit tidak mempunyai sebarang rekod pengenalan diri. Turut ditemui beberapa peralatan yang dipercayai digunakan bagi kegiatan mencuri kabel," ujarnya.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN