fb fb fb fb fb

Bunuh kekasih: Korporal terlepas hukuman tali gantung

FOTO HIASAN

JOHOR BAHRU, 17 Julai - Bekas anggota polis berpangkat korporal terlepas daripada hukuman tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, hari ini mengetepikan hukuman itu dan digantikan dengan penjara 40 tahun dan 12 sebatan dari tarikh tangkapan 13 April 2015.

Muhammad Faizal Salim yang didakwa membunuh kekasihnya yang sedang mengandung enam bulan pada 2015 itu berjaya dalam semakan yang dibuat, selepas panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu.

Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Faizal, 47 tahun didakwa membunuh kekasihnya, Norzielawati Akmar Afandi, 35 tahun di Taman Rekreasi Hutan Bandar Bukit Cantik, Mersing Johor.

Faizal melakukan perbuatan itu antara 11 malam dan 12.30 pagi pada 12 April 2015.

Laporan bedah siasat mendapati punca kematian Norzielawati ialah hentakan kuat dengan benda tumpul pada kepala dan si mati juga mempunyai 47 kecederaan lain di badan seperti  kesan lebam, luka dan kelupasan.

Pemeriksaan dalaman juga menunjukkan bahawa si mati mengandung enam bulan.

Pada 21 Mei 2018, Mahkamah Rayuan Putrajaya mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap  bekas anggota polis berpangkat korporal kerana membunuh kekasihnya yang mengandung pada 2015.

Dalam rayuan hari itu, peguam Muhammad Faizal, Subash Ramasamy memberitahu  mahkamah bahawa anak guamnya dan si mati merupakan sepasang kekasih dan pertengkaran itu merupakan pertengkaran pasangan sedang bercinta.

Muhammad Faizal Salim diwakili peguam Iskandar Shah Ibrahim manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi.

GRACE AISYAH KEDAYAN