fb fb fb fb fb

Biskut beracun: Polis selesai ambil keterangan awal mangsa

Foto RTM

KEMAMAN, 17 Julai– Polis telah selesai mengambil keterangan awal daripada pelajar yang merupakan mangsa yang terbabit dalam kejadian biskut dipercayai beracun di Kemaman petang semalam.
 
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pihaknya mengambil keterangan daripada Mohd Daynail Haikal Alias kira-kira jam 4.40 petang semalam.

Menurut Superintenden Hanyan, keterangan daripada mangsa diambil sebaik sahaja mangsa dibenarkan keluar daripada wad Hospital Kemaman selepas empat hari menerima rawatan.
 
Bagaimanapun, Superintenden Hanyan berkata polis akan memanggil semula mangsa sekiranya maklumat tambahan diperlukan bagi melengkapkan siasatan kes itu.
 
Superintenden Hanyan berkata, pihak polis juga telah selesai merakam percakapan daripada seorang pekebun pisang petang semalam.
 
Menurut Superintenden Hanyan, menerusi keterangan itu pihak polis akan menjalankan siasatan terperinci yang akan merangkumi pelbagai aspek.
 
Dalam kejadian Jumaat lalu, mangsa berumur tiga belas tahun itu nyaris maut selepas makan biskut yang dipercayai dicampur racun di Kampung Dadong dekat Air Puteh, kira-kira jam 1.45 petang.
 
Mangsa, Mohd Daynail Haikal dikejarkan ke Klinik Kesihatan Air Puteh di sini sebelum dirujuk ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.
 
Susulan insiden itu, polis telah memanggil pekebun berusia tujuh puluh lima tahun dan telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas lebih satu jam memberikan keterangan

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD