fb fb fb fb fb

MCMC siasat dua lelaki buat komen jelik, provokatif di TikTok

Dua lelaki disiasat dan dirakam percakapan MCMC berhubung hantaran jelik dan bersifat provokasi di TikTok/Foto MCMC

PUTRAJAYA, 16 Julai - Dua lelaki berhubung komen jelik dan bersifat provokatif menerusi siaran ulangan sesi Parlimen di platform TikTok pada 9 Julai lepas telah disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

MCMC menerusi kenyataan hari ini berkata, pihaknya turut merakam percakapan kedua-dua individu itu semalam selepas menerima aduan orang awam.

"Dalam operasi dijalankan, kad sim dan telefon pintar yang digunakan untuk memuat naik komen jelik itu telah disita bagi membantu siasatan," katanya sambil menambah kedua-dua lelaki itu telah diserahkan Notis Kehadiran mengikut prosedur yang ditetapkan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Seksyen tersebut melarang pembuatan atau penghantaran komunikasi bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.

Tambah kenyataan itu, MCMC memandang serius penyalahgunaan perkhidmatan komunikasi dan media sosial.

"MCMC meningatkan orang ramai untuk tidak menggunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian dalam membuat sebarang hantaran serta komen yang bertentangan dengan undang-undang negara," tegasnya.

GRACE AISYAH KEDAYAN