KUALA LUMPUR, 11 Mac - Seorang anggota polis berpangkat lans koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengaibkan kehormatan jurugambar wanita dengan membuat isyarat lucah pada Disember tahun lepas.
Muhammad Faris Ariffin Tait, 33, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang berusia 26 tahun di hadapan sebuah bangunan di Off Jalan Tun Razak pada 3.58 petang 13 Dis 2024.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Vivi’ Asnita Zaina’ Larifin menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin.
Peguam Tripatjit Singh pula memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya merupakan seorang anggota polis dan tiada risiko melarikan diri.
“Anak guam saya menanggung keluarga termasuk ibu dan bapanya. Isteri tertuduh juga tidak bekerja dan mereka mempunyai seorang anak. Mohon jumlah jaminan yang minimum," katanya.
Majistret M.S Arunjothy membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Mei ini untuk sebutan kes. - BERNAMA