KUALA TERENGGANU, 22 Jun - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menahan sebuah bot penumpang
kerana didapati beroperasi di luar kawasan yang ditetapkan dalam lesen pengoperasiannya pada, 5.30 petang tadi.
Pengarahnya Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, bot tersebut ditahan oleh pegawai Maritim Malaysia sekitar Pulau Lang Tengah, di kedudukan 19 batu nautika timur, Kuala Besut.
"Setelah diperiksa didapati bot penumpang telah berada di luar zon yang diluluskan dan membawa lebihan muatan, sekali gus melanggar syarat utama dalam lesen yang dikeluarkan," menurutnya menerusi kenyataan.
Hasil pemeriksaan mendapati, pengemudi dan pembantu bot lelaki warga tempatan berumur lingkungan 22 hingga 28 tahun dimaklumkan telah membawa 16 orang penumpang ke Pulau Lang Tengah yang mana tidak dinyatakan dalam lesen bot.
Tindakan tegas diambil bagi memastikan keselamatan penumpang serta mematuhi undang-undang laut yang ditetapkan. Bot telah dibawa ke Jeti Maritim Kuala Besut untuk disiasatan lanjut.
Kes disiasat bawah Akta Perkapalan Saudagar 1952 dan Maritim Malaysia memberi amaran kepada semua pengusaha bot agar sentiasa mematuhi syarat-syarat lesen bagi mengelakkan tindakan undang-undang.