fb fb fb fb fb

Bomba guna 'water bombing' kawal kebakaran tanah gambut di Baram

JBPM melaksanakan sebanyak 62 kali ‘water bombing’ bersamaan dengan 124,000 liter air sepanjang dua hari operasi yang dilaksanakan/Foto Bomba Miri

MIRI, 27 Mac - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian, (JPBB) komited memadam kebakaran tanah gambut yang sudah merebak seluas seratus hektar di kawasan Kuala Baram sejak Ahad lalu.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, JPBB mengambil langkah menggunakan pesawat untuk memadam api dengan bom air dari udara ke kawasan yang tiada akses jalan raya.

"Operasi memadam kebakaran menggunakan pesawat Bombardier daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk melakukan pengeboman air di kawasan yang tidak dapat dilalui disebabkan jalan raya terjejas oleh kebakaran," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, kapal bombardier milik bomba Miri juga tiba hari ini dalam membantu operasi pemadaman.

"Pemantauan berterusan akan dijalankan untuk mencegah kebakaran tanah gambut berikutan keadaan cuaca panas dan paras air di kawasan tanah gambut sangat rendah menyebabkan kebakaran mudah berlaku," katanya.

Setakat 3 petang tadi kualiti udara di daerah ini masih berada pada tahap sederhana dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Institut Latihan Perindustrian Miri adalah (72) dan Miri (66).

Dalam pada itu, pesawat Mi-171 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang diketuai oleh komander pesawat PPjB Sofian Ahmed @ Ibrahim melaksanakan penerbangan kebombaan untuk memadam kebakaran hutan di kawasan Baram petang tadi.

"Pesawat JBPM melaksanakan sebanyak 62 kali ‘water bombing’ bersamaan dengan 124,000 liter air sepanjang dua hari operasi yang dilaksanakan," kata Pangkalan Udara Wilayah Sarawak JBPM menerusi hantaran Facebook hari ini.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN