fb fb fb fb fb

Bintara Muda Maritim Malaysia didenda RM7,000

Mohd. Fadzil Abdullah mengaku salah terima rasuah RM500 daripada seorang pemilik syarikat

BUTTERWORTH, 21 Disember- Bintara Muda Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) Pulau Pinang didenda RM7,000 selepas mengaku bersalah menerima rasuah berjumlah RM500 dari seorang pemilik syarikat, enam tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Fadzil Abdullah, 48, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, bapa enam anak itu didakwa menerima wang berjumlah RM500 daripada seorang pemilik perniagaan berusia 38 tahun yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Jelutong pada 17 April 2017.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Afiqa Liyana Rozman dan Noor Azura Zulkifl.

Manakala tertuduh diwakili peguam SP Raman.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda yang ditetapkan.

Bagaimanapun Mohd. Fadzil membayar denda terbabit.

Sementara itu dalam prosiding sama, Mohd. Fadzil turut berdepan empat lagi pertuduhan berhubung kesalahan rasuah namun mahkamah memutuskan tertuduh dibebaskan tanpa dilepaskan selepas menerima representasi yang dikemukakan Raman terhadap anak guamnya mengikut Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI