fb fb fb fb fb

Beri ruang kepada polis jalankan siasatan mengikut SOP - Saifuddin

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR, 14 Jun- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meminta orang ramai memberikan ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyebaran maklumat kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin di media sosial.

Menurut Saifuddin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi dalam menjalankan sebarang siasatan.

"Apa pun yang menjadi panduan kita biarlah daripada sumber pihak berkuasa. Masyarakat mahu pasukan polis menyegerakan pelaku dibawa ke muka pengadilan. PAda masa sama ada juga media massa dengan memetik kebocoran kemudian mendedahkan kepada komen orang awam.

"Jadi pasukan polis tidak boleh ada dalam situasi seperti itu, buat masa sekarang mereka terus fokus menjalankan siasatan secara professional," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan dan Posthumous serta Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Menteri Dalam Negeri Bersama PDRM di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di ibu negara.

Majlis itu turut dihadiri Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Azmi Abu Kassim.

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan agar masyarakat perlu bersandarkan maklumat daripada sumber yang mempunyai autoritatif berhubung kes pembunuhan Zayn Rayyan itu.

Semalam, tular di media sosial berkenaan tangkap layar yang didakwa laporan siasatan membabitkan kes pembunuhan kanak-kanak autisme itu.

Polis turut mengemukakan permohonan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk menurunkan tangkap layar berkenaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI