fb fb fb fb fb

Beri anak minum susu bercampur dadah: Ibu tukar pengakuan kepada tidak bersalah

FOTO BERNAMA

PETALING JAYA, 13 Mac- Seorang ibu menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya anak lelakinya dengan memberi minum susu bercampur air yang mengandungi dadah jenis Methamphetamine, bulan lepas.

Suri rumah berumur 34 tahun itu menukar pengakuannya ketika kes disebut semula di hadapan Hakim Noor Ruzilawati Mohd Nor.

Sepatutnya hari ini ditetapkan untuk fakta kes dan jatuh hukum selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan itu pada 28 Feb lepas.

Sementara itu suaminya peniaga air balang yang berumur 40 tahun turut mengekalkan pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan sama selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan semula hari ini.

Mengikut pertuduhan mereka didakwa bersama-sama melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak lelaki berusia setahun empat bulan dengan memberi minum susu bercampur air mengandungi dadah berbahaya jenis Methamphetamine sehingga menyebabkan mangsa mengalami "allegedsympathomimetic drug ingestion".

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah apartment di Taman Medan, Petaling Jaya pada 6 petang, 19 Feb lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Mei ini untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan perubatan.

Prosiding itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin manakala peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar mewakili ibu berkenaan dan peguam Adi Zulkarnain Zulkafli mewakili tertuduh lelaki.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE