KUALA LUMPUR, 1 Februari - Seorang bekas pemilik syarikat ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menggunakan dan mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu kepada sebuah yayasan, pada 2022.
Menurut sumber, lelaki berusia 50-an itu ditahan kira-kira pukul 4 petang di sebuah daerah di Johor.
Perintah reman selama lima hari hingga 5 Februari terhadap suspek dikeluarkan oleh Majistret Farah Binti Rosnan di Mahkamah Majistret 3, Kompleks Mahkamah Shah Alam selepas pihak SPRM membuat permohonan tersebut pagi tadi.
"Berdasarkan siasatan yang dijalankan, suspek yang kini bekerja sebagai pengimpal telah melakukan kesalahan tersebut pada tahun 2022.
"Syarikat milik beliau telah dilantik sebagai rakan strategik kepada yayasan tersebut bagi membekalkan pakej perniagaan produk dan perkhidmatan bagi skim pembiayaan," katanya.
Menurut sumber, telah menggunakan dan mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu kepada yayasan tersebut iaitu invois-invois pembekalan produk kepada peserta yang berdaftar di bawah skim pembiayaan berjumlah sekitar RM1.2 juta sedangkan pembekalan tersebut tidak dilaksanakan.
Suspek diwakili oleh peguam Mohd Safwan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Dato Alias bin Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terhadap suspek dan berkata kes itu disiasat di bawah Sekyen 18 Akta SPRM 2009.