KUALA LUMPUR, 20 November- Polis Diraja Malaysia mengesahkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff akan hadir memberi keterangan hari ini, susulan video perbualan miripnya dengan seorang kakitangan J-KOM yang tular dan dilaporkan telah disunting oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata Mohammad Agus akan memberi keterangan pada 2 petang ini, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.
Beliau berkata selain Mohammad Agus, terdapat lagi beberapa individu lain dijangka akan dipanggil bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Hanya beliau (Mohammad Agus) dipanggil hari ini manakala Wahab (Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, Penolong Pegawai J-KOM) akan dipanggil dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai individu bergelar “Mr H” yang dikaitkan dengan kes berkenaan, Razarudin berkata ia masih dalam siasatan polis.
Terdahulu, tular menerusi media sosial video berdurasi tiga minit memaparkan perbualan secara dalam talian antara lelaki didakwa mirip Mohammad Agus dengan seorang individu lain.
Mohammad Agus pada sidang medianya Jumaat lepas di sebuah hotel di Bangi dekat sini, mendakwa video itu disunting dan telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.- BERNAMA