fb fb fb fb fb

Bayi perempuan masih bertali pusat ditemui dalam beg

Foto fail

KUANTAN, September - Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui dalam sebuah beg berhampiran tepi pagar Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Terencat Akal Alor Akar Kuantan pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, bayi tersebut ditemui oleh kakitangan lelaki rumah itu sekitar pukul 7.30 pagi selepas terdengar tangisan ketika keluar dari rumah perlindungan.

Lelaki tersebut kemudian pergi melihat dan mendapati bayi tersebut ditinggalkan dalam beg di luar pagar sebelum menghubungi pihak polis.

Menurut Wan Mohd Zahari, siasatan awal mendapati tiada kesan kecederaan lain pada tubuh badan bayi, tetapi kulit bayi telah menjadi kebiruan akibat kesejukan.

Bayi tersebut dipercayai telah ditinggalkan oleh individu tidak dikenali sekitar pukul 10 malam semalam, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat terbabit.

Rakaman CCTV menunjukkan sebuah kereta dan seorang individu disyaki lelaki berjalan kaki dan meletakkan beg di lokasi kejadian sebelum beredar menaiki kenderaan tersebut.

Bayi tersebut telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuantan juga telah dimaklumkan.

Sampel darah bayi akan diambil untuk perbandingan DNA dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Wan Mohd Zahari menambah, maklumat kejadian telah disalurkan kepada pasukan penyiasat untuk mendapatkan maklumat di sekitar tempat kejadian, mengesan suspek, serta merakam percakapan pengadu dan saksi terlibat.

Trainee