KUALA TERENGGANU, 30 April – Seorang bapa kepada empat anak terlepas daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini melepaskan dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine tiga tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Fazilah Ngah, 42, sebelum ini didakwa mengedar dadah seberat 73.86 gram pada 9 Jun 2022 di sebuah rumah di Felda Bukit Bading, Hulu Terengganu.
Dia berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Namun, Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan tertuduh tanpa dipanggil membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Difahamkan, Muhammad Fazilah yang bekerja sendiri telah ditahan di Penjara Marang selama dua tahun 10 bulan sepanjang perbicaraan berlangsung memandangkan tiada jaminan dibenarkan bagi kesalahan berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Khairuddin Idris, manakala tertuduh diwakili peguam, Wan Zainuddin Wan Musa.