fb fb fb fb fb

Resort runtuh hingga sebabkan dua kematian, pengarah syarikat didenda RM150,000

Lee Boon Han, 55, (kanan) di pekarangan Mahkamah Seksyen Besut hari ini

KUALA TERENGGANU, 23 Januari- Seorang pengarah syarikat dijatuhkan didenda RM150,000 oleh Mahkamah Seksyen Besut bagi enam pertuduhan berhubung kes runtuhan bangunan melibatkan sebuah resort di Pulau Perhentian, Terengganu hingga menyebabkan kematian dua pekerja pada November lalu.

Lee Boon Han, 55, membuat pengakuan bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan dihadapan Hakim Ahmad Fazli Mahmud.

Mengikut pertuduhan, pada 9 November lalu antara pukul 1.00 pagi sehingga 5.00 pagi, Boon Han telah melanggar kewajipan sebagai kontraktor untuk memastikan keselamatan bangunan serta kerja-kerja pembinaan.

Dia juga mengakui kesalahan mendirikan binaan bangunan menggunakan lukisan konsep yang disediakan oleh pelukis bebas tanpa mempunyai perakuan daripada perunding bertauliah.

Boo Han turut bersalah bersalah membina bangunan utama tanpa mendapatkan kelulusan pembinaan dan kebenaran daripada Majlis Daerah Besut dan tidak melaksanakan siasatan tanah di tapak bina bangunan.

Selain itu, dia juga tidak menyediakan laporan kesan alam sekitar bagi projek berkenaan serta mengambil penyelia tapak yang tidak kompetan.

Dia turut melantik pekerja tidak mahir dan tidak memiliki perakuan dalam membina bangunan tiga tingkat yang runtuh dan menghempap tujuh pekerja hingga menyebabkan kematian dua pekerja warga Indonesia iaitu Suparno dan Fathul Munir.

Boon Han yang juga merupakan pengarah syarikat Malee Beach Resort Sdn Bhd itu telah melakukan kesalahan bawah Seksyen 34B (1) (c), Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520) dibaca bersama Seksyen 34D (1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh didenda RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Ketua Pegawai Pendakwa CIDB, Abdul Razak Husin, manakala tertuduh diwakili peguam Hayder Yazid.

Terdahulu pada 9 November lalu, pembinaan sebuah restoran setinggi tiga tingkat di sebuah resort di Pulau Perhentian itu telah runtuh menimpa tujuh buruh binaan dalam kejadian sekitar pukul 4.30 pagi.

Empat mangsa berjaya menyelamatkan diri, manakala dua lagi maut tertimbus dalam runtuhan tersebut.

SITI AISHAH BINTI MD ISA