fb fb fb fb fb

Enam warga Myanmar kendali bot nelayan tempatan, ditahan

Bot nelayan ditahan APMM di lokasi 24 batu nautika Timur Laut Muara Kuala Kemaman.

KUALA TERENGGANU, 3 Oktober- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menahan enam warga Myanmar yang mengendalikan sebuah bot nelayan tempatan di lokasi 24 batu nautika Timur Laut Muara Kuala Kemaman, semalam.

Pengarah Maritim Terengganu Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata bot nelayan itu ditahan pada 2 petang ketika rondaan pihaknya dalam siri Op IMAN di perairan Kuala Kemaman.

“Setelah diperiksa, enam orang kru termasuk tekong warga Myanmar disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Bot nelayan terbabit tidak mempunyai dokumen Kebenaran Menggunakan Warga Asing daripada Ketua Pengarah Perikanan dan dua daripada mereka tidak memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata jika sabit kesalahan, kru bot dan tekong boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-keduanya atas kesalahan di bawah Akta Perikanan manakala bagi kesalahan di bawah Akta Imigresen, mereka boleh didenda RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-keduanya.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar Undang-Undang Laut Malaysia,” katanya.

Trainee2