TAWAU, 4 Jun- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup beras, gula peket dan minyak petrol ke negara jiran selepas memintas sebuah bot kargo di kedudukan 0.6 batu nautika selatan Pelabuhan Tawau di sini semalam.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata bot menuju ke Pulau Sebatik yang dikendalikan lelaki tempatan berusia 32 tahun itu dipintas bot peronda APMM ketika menjalankan Op Pluto Timur dan Op Tiris pada 3.40 petang.
"Pemeriksaan terhadap bot menemukan muatan 500 kilogram (kg) beras tempatan, 500 kg beras siam, 48 kg gula pasir berpeket serta empat gelen minyak petrol diangggar 120 liter.
"Siasatan dijalankan berdasarkan cubaan menyeludup barang kawalan ke negara jiran kerana barang-barang yang dibawa itu dalam jumlah kuantiti dagangan dan tanpa permit," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, rampasan termasuk muatan dan bot dianggarkan bernilai RM55,000 dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 522).
Shahrizan turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan salah laku jenayah di sekitar perairan Tawau supaya menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau menerusi talian 089-752 116 atau MERS 999.