fb fb fb fb fb

Kereta dicuri: Warga emas berdepan detik cemas 'dilarikan' sejauh 400 meter

Tangkap layar memaparkan seorang lelaki yang tidak dikenali menyelinap masuk ke dalam kereta di sebuah stesen minyak di Semambu

KUANTAN, 4 Jun - Seorang warga emas berdepan detik cemas selepas kereta milik anaknya dilarikan seorang lelaki yang tidak dikenali di sebuah stesen minyak di Semambu di sini, semalam.

Napisah Muhammad, 66 tahun, yang duduk di tempat hadapan penumpang dilarikan sejauh 400 meter dari stesen minyak berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu bagaimanapun berkata dalam kejadian kira-kira pukul 3.10 petang semalam, mangsa diturunkan di tepi jalan dalam keadaan selamat.

Mangsa berkata, dia bersama suami Mohamed Halim, 77 tahun dan anak perempuan mereka, Norhalina, berhenti mengisi petrol di stesen minyak terbabit.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian turut tular di media sosial.

“Semasa mengisi minyak, mangsa dan suaminya telah ke tandas. Selepas anak mangsa selesai mengisi minyak, dia meletakkan kenderaannya berhampiran tandas dan mangsa yang telah selesai ke tandas terus masuk ke dalam kereta.

“Anak mangsa pula kemudiannya mahu ke tandas dengan meninggalkan keretanya dalam keadaan enjin masih hidup. Ketika dia sedang berjalan, dia terdengar emaknya meminta tolong dan nampak keretanya bergerak laju manakala emaknya tidak sempat turun dari kenderaan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lelaki itu turut melarikan kereta jenis Sedan berwarna merah milik anak mangsa selain menyamun telefon bimbit, kad Touch 'n Go (TnG) dan SmartTAG dengan kerugian RM94,000.

Menurut beliau, suspek datang ke stesen minyak menggunakan motosikal curi serta nombor plat palsu sebelum masuk ke kereta dan melarikan kenderaan tersebut.

Pihak polis kini mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor.

GRACE AISYAH KEDAYAN