fb fb fb fb fb

Amang seksual: Bekas guru kekal dipenjara sembilan tahun, dua sebatan

Mohd Shahril Shaffie hadir di Mahkamah Rayuan Putrajaya bagi rayuan akhir kes amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki berusia 10 tahun, enam tahun lalu.

PUTRAJAYA, 23 September- Seorang bekas guru bahasa Arab di sebuah sekolah rendah kekal dipenjara sembilan tahun dengan dua sebatan kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki berusia 10 tahun, enam tahun lalu.

Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan demikian terhadap Mohd. Shahril Shaffie, 38, selepas menolak rayuan akhirnya terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Putrajaya pada 2020.

Ahmad Zaidi dalam keputusan sebulat suara berkata mahkamah mendapati rayuan perayu tidak mempunyai merit dan tiada kekhilafan oleh hakim bicara (Mahkamah Sesyen) dalam menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan dua sebatan terhadap perayu serta hukuman itu telah dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Februari 2023.

Beliau berkata mahkamah juga tidak bersetuju dengan peguam perayu bahawa hukuman yang dijatuhkan oleh hakim bicara adalah terlalu tinggi.

“Dalam kes ini, perayu ialah tenaga pengajar yang diamanahkan untuk membimbing kanak-kanak tetapi telah menyalahgunakan kedudukannya sehingga menyebabkan mangsa mengalami trauma dan nama baik sekolah turut terjejas akibat tindakan perayu.

“Kesalahan dilakukan perayu adalah serius. Oleh itu, rayuan perayu terhadap sabitan dan hukuman ditolak,” kata Ahmad Zaidi yang turut memerintahkan perayu menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Turut bersidang Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azmi Ariffin dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin.

Mohd Shahril didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki itu antara pukul 12.15 hingga 12.45 tengah hari pada 22 November 2018 di rumahnya (tertuduh) di Subang Bestari, Shah Alam, mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Pada 30 September 2020, Hakim Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Yong Zarida Sazali turut mengarahkan Mohd Shahril mengikuti khidmat kaunseling pemulihan selama lapan tahun dan berada dalam pengawasan polis untuk tiga tahun setelah selesai menjalani hukuman penjara.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Arif Aizuddin Masrom berhujah bahawa mangsa trauma dengan kejadian yang berlaku terhadapnya dan kesan trauma itu turut dialami ibu bapa mangsa.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI