fb fb fb fb fb

'Ah Long', tujuh ahli sindiket diberkas

Ketua Polis Johor, CP M Kumar

JOHOR BAHRU, 8 April - Tujuh individu termasuk seorang wanita disyaki terbabit aktiviti pinjaman wang tanpa lesen atau 'Ah Long' diberkas menerusi beberapa serbuan di sekitar daerah ini bermula 28 Mac hingga semalam.

Ketua Polis Johor, CP M Kumar berkata kesemua mereka berusia antara 29 hingga 46 tahun itu dipercayai menerima upah sebanyak RM600 daripada sindiket untuk membuat ugutan jenayah terhadap mangsa yang gagal membuat bayaran pinjaman.

Beliau berkata, mereka juga dibayar RM1,000 jika melakukan khianat menggunakan api ke rumah peminjam yang gagal membayar pinjaman.

"Kadar faedah yang dikenakan untuk setiap pinjaman minimum 20 peratus dan boleh tambah sehingga 50 peratus faedah sahaja, jadi sekiranya seorang itu meminjam sampai bila-bila pun dia tidak akan dapat selesaikan pinjaman dia, sampai bila-bila pun dia akan jadi penghutang.

"Setiap transaksi sama ada memberi pinjaman atau mengutip wang pinjam itu semua melalui transaksi kewangan melibatkan aplikasi dan akaun bank tersebut adalah di luar negara, bukan di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini.

Tambah Kumar, sindiket yang aktif sejak Januari lalu itu menyasarkan rakyat Malaysia yang bekerja di luar Negara dengan mengiklankan tawaran pinjaman di media sosial.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN