PETALING JAYA, 6 Disember- Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf iaitu ibu bapa kepada kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin, untuk menarik balik pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu.
Perkembangan tersebut dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin kepada Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh dalam prosiding yang berlangsung pagi tadi.
Sebelum perbicaraan dimulakan, pihak pendakwaan memohon satu tarikh bagi serahan dokumen termasuk laporan forensik serta dua cakera padat (CD) berkaitan kes berkenaan. Susulan itu, peguam yang baru dilantik mewakili pasangan itu, Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris akan meneruskan untuk pemeriksaan balas saksi pendakwaan pertama.
Bagaimanapun, mereka meminta penangguhan tarikh hari pertama perbicaraan kes yang ditetapkan pada 21 hingga 24 Januari depan berikutan terdapat kes sambung bicara untuk tertuduh lain di Negeri Sembilan.
Mahkamah kemudian menetapkan 10 Januari 2025 bagi serahan dokumen berkaitan, manakala tarikh tambahan perbicaraan ditetapkan pada 10 hingga 14 Mac 2025.
Pada 18 September lalu, mahkamah menetapkan hari ini bagi pengurusan kes untuk mengetahui keputusan representasi selepas pembelaan memaklumkan pihaknya akan mengemukakan representasi dalam tempoh terdekat.
Kes tersebut sebelum ini ditetapkan selama 15 hari iaitu bermula 20 hingga 24 Januari 2025, 3 hingga 7 Februari dan 17 hingga 21 Februari tahun sama dengan melibatkan seramai 15 saksi pendakwaan yang akan dipanggil dalam perbicaraan kes berkenaan.
Pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira, masing-masing berusia 29 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya pada Disember 2023 di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini, pada 12.00 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.