IPOH, 5 Februari - Seorang lagi pendatang tanpa izin yang lolos dari Depot Sementara Imigresen Bidor, Tapah, maut akibat kemalangan jalan raya di Kilometer (KM) 332.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan kira-kira pukul 9.20 malam tadi.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dalam kenyataan berkata, tiga lagi pendatang tanpa izin ditahan awal pagi tadi di kawasan Tapah menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan 54 orang setakat 8.00 pagi ini.
"Mangsa dilanggar pacuan empat roda ketika sedang berjalan kaki dan siasatan dijalankan bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Beliau berkata kesemua tangkapan termasuk yang meninggal dunia adalah warga Rohingya (Myanmar).
Mayat mangsa kejadian 9.20 malam tadi telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk dibedah siasat.
Beliau berkata pegawai imigresen telah hadir ke hospital itu dan mengesahkan bahawa mangsa adalah seorang daripada pendatang yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor.
"Orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil untuk memberi keterangan dan menghubungi pegawai penyiasat kes Insp P. Prathiparaj dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan trafik, IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Tapah di talian 014-6178095," katanya.
Berkenaan tahanan yang ditangkap, Mohd Yusri berkata pada 9.45 malam tadi hasil maklumat orang awam, pasukan operasi khas polis berjaya menahan seorang lelaki etnik Rohingya itu di Felcra Jalan Kachu, Tapah.
Katanya pasukan operasi khas polis juga berjaya menangkap lelaki etnik Rohingya pada 3.35 pagi tadi, manakala seorang lagi lelaki Rohingnya ditahan di Batu Dua Jalan Pahang, Tapah pada 3.55 pagi tadi.
"PDRM (Polis Diraja Malaysia) Perak menyeru orang ramai bekerjasama dalam mengesan tahanan etnik Rohingya yang meloloskan diri dari Depot Tahanan Imigresen Bidor dan juga tidak membuat sebarang spekulasi yang akan menyukarkan lagi situasi semasa.
"Kejayaan yang amat dibanggakan sepanjang operasi ini dijalankan dengan jumlah penangkapan yang telah dibuat. Operasi mengesan dan menangkap akan diteruskan sehingga tempoh tertentu," katanya.