fb fb fb fb fb

46 PATI ditahan di Kompleks Pasar Meru

Kesemua lelaki warga asing itu terdiri daripada 33 warga Myanmar; 12 Bangladesh serta seorang India.

KLANG, 21 Mac- Seramai 46 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen (JIM) Selangor di Kompleks Pasar Meru, dekat sini, menerusi operasi bersepadu hari ini.

Kesemua PATI itu ditahan menerusi operasi digerakkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, JIM Selangor serta Jabatan Perlesenan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.

Menurut Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JIM Selangor, Mohamad Syahmi Mirza Mohamad Nazmi berkata, kesemua lelaki warga asing itu terdiri daripada 33 warga Myanmar; 12 Bangladesh serta seorang India.

"Mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 25 hingga 40 tahun dan setakat ini, kami syak mereka tidak mempunyai sebarang dokumen sah untuk masuk dan bekerja di negara ini.

"Mereka bekerja sebagai pembantu di pasar ini dan kita akan semak sejak bila mereka masuk dan bekerja di negara ini.

"Kesemua tahanan akan dibawa ke Depoh Semenyih sebelum tindakan selanjutnya diambil. Majikan yang menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah juga boleh didakwa mengikut Akta Imigresen 1959/63," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna negeri Selangor, Datuk Rizam Ismail yang turut serta dalam operasi itu berkata, terdapat tiga kes membabitkan timbang sukat yang tidak dipatuhi peniaga membabitkan kompaun berjumlah RM600.

"KPDN Selangor juga mengeluarkan 27 amaran kepada peniaga atas pelbagai kesalahan termasuk berkaitan tanda harga.

"Bagi pihak MBDK, terdapat sembilan kes dihasilkan membabitkan kesalahan tiada lesen perniagaan dengan kompaun keseluruhan berjumlah RM4,500," katanya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI