BATU PAHAT, 1 Ogos- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 44 warga asing dalam serbuan di sebuah tapak pembinaan dekat sini, dua hari lalu.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata serbuan berkenaan dilakukan susulan aduan masyarakat setempat terdapat ramai warga asing yang bekerja tanpa permit di tapak pembinaan berkenaan.
Katanya, seramai 88 warga asing telah diperiksa dalam operasi itu, bagaimanapun hanya 44 individu ditahan pihaknya.
"Termasuk 33 warga Bangladesh, Indonesia (8), Myanmar (2) dan seorang Nepal yang berumur 19 hingga 51 tahun atas pelbagai kesalahan.
“Antaranya melanggar syarat pas yang ditetapkan, tidak memiliki permit yang sah berada di negara ini dan tinggal lebih masa yang ditetapkan” katanya dalam satu kenyataan.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959 / 63, serta Peraturan – Peraturan Imigresen 1963.
Mohd Rusdi berkata amaran tindakan tegas bukan saja akan diambil terhadap warga asing yang tinggal secara haram di negara ini malah terhadap pihak yang melindungi dan menggaji pekerja asing.