fb fb fb fb fb

38 individu ditahan dalam Ops Mahir, Ops Selera, Ops Sapu & Ops Kutip

FOTO FB JIMS

KUCHING, 21 Mac- Seramai 38 individu ditahan dalam operasi penguatkuasaan Ops Mahir, Ops Selera, Ops Sapu, dan Ops Kutip yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kuching pada 19 hingga 20 Mac 2025.

Mereka dipercayai melakukan pelbagai kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk tinggal lebih masa, tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, dan bekerja tanpa permit yang sah.

Menurut hantaran Facebook Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak (JIMS), sepanjang operasi selama dua hari itu, seramai 133 individu telah diperiksa di beberapa lokasi tumpuan sekitar bandaraya Kuching.

Operasi tersebut melibatkan 30 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). Semua individu yang ditahan akan disiasat lanjut sebelum tindakan penguatkuasaan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada.

JIM menegaskan bahawa operasi sebegini akan diteruskan secara berkala bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen. Majikan turut diingatkan agar tidak menggaji warga asing secara tidak sah bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

Orang ramai diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing kepada pihak berkuasa bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE