MELAKA, 14 Ogos- Jabatan Imigresen (JIM) Melaka menahan 36 warga Bangladesh di sekitar Melaka Tengah dalam operasi ke atas sebuah premis yang dijadikan tempat penampungan pekerja asing.
Operasi pada 13 Ogos itu mendapati warga Bangladesh berkenaan tidak mempunyai pekerjaan selama 15 hari serta tinggal di tempat sempit dan kotor.
Pengarah JIM Melaka Anirwan Fauzee Mohd Aini dalam satu kenyataan berkata, kesemua warga asing itu ditahan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mengemukakan dokumen yang sah.
"Bertindak atas maklumat awam, JIM Negeri Melaka melakukan operasi ke atas sebuah premis yang dijadikan tempat penampungan pekerja warga asing.
"Ketika operasi dilakukan kesemua warga asing tersebut tidak menyedari kehadiran penguatkuasa kerana sedang nyenyak tidur," katanya.
Dua saman saksi turut dikeluarkan kepada wakil majikan bagi membantu siasatan.
Sementara itu kesemua warga Bangladesh berkenaan dibawa ke Pejabat Imigresen Kompleks Kementerian Dalam Negeri Melaka untuk tindakan lanjut dan akan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan lanjut.
Secara keseluruhan dalam beberapa operasi berasingan pada 13 Ogos itu, JIM Melaka menahan seramai 60 warga asing berusia antara 25 hingga 40 tahun daripada 85 warga asing yang diperiksa.
Mereka ditahan atas pelbagai kesalahan lain termasuk tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Operasi berkenaan dilakukan untuk mengesan dan membanteras kebanjiran warga asing khususnya pendatang tanpa izin (PTI) selain mengenal pasti individu yang cuba melindungi PTI demi mengaut keuntungan.