fb fb fb fb fb

Seorang lelaki direman, disyaki edar air ketum di Besut

Peralatan disyaki digunakan untuk merebus air ketum seperti tong gas, periuk dan tungku dapur dirampas

BESUT, 14 Ogos- Seorang lelaki berjaya diberkas selepas disyaki mengedar air ketum di sekitar daerah Besut, semalam dan suspek direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut Deputi Superintenden (DSP) Azrol Anuar Nor berkata, suspek berusia 42 tahun itu ditahan di dalam semak belakang sebuah rumah di Jalan Seberang Kastam, Kampung Pengkalan Nyireh kira-kira pukul 12.45 tengah hari.

"Hasil pemeriksaan polis menemukan 50 plastik berwarna cerah berikat dengan gelang getah yang di dalamnya mengandungi cecair berwarna hijau disyaki air ketum.

"Polis turut menemukan daun berwarna kehijauan disyaki daun ketum dianggarkan seberat 20 kilogram," kata Azrol Anuar Nor.

Turut dirampas dalam operasi tersebut ialah beberapa peralatan disyaki untuk merebus air ketum seperti tong gas, periuk dan tungku dapur.

Bagaimanapun saringan awal air kencing terhadap suspek adalah negatif dadah dan kes disiasat bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI