LABUAN, 6 November-Seramai 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen (JIM) Labuan petang semalam, menjadikan 106-tangkapan direkod JIM Labuan setakat 5 November tahun ini.
Kira-kira 19 majikan di pulau itu turut ditangkap atas kesalahan melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963, dalam tempoh sama.
Pengarah JIM Labuan Raymond Entalai menjelaskan, Imigresen Labuan tidak akan berkompromi terhadap orang asing yang tinggal secara haram di negara ini.
Raymond turut menasihatkan para majikan agar mematuhi undang-undang dengan hanya mengambil warganegara asing yang mempunyai dokumen sah untuk bekerja.
Kegagalan berbuat demikian, boleh didakwa di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) yang membawa denda tidak kurang RM10,000 atau tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap PATI yang diambil bekerja.
Tegasnya Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas sah serta mereka yang menyalahgunakan pas dan kemudahan yang diberikan.