fb fb fb fb fb

Kes senarai asnaf palsu : SPRM Terengganu reman timbalan pengerusi masjid

FOTO RTM

KEMAMAN, 6 November- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM Terengganu mengesahkan penahanan seorang lagi individu melibatkan kes senarai asnaf palsu.

Kali ini melibatkan timbalan pengerusi masjid yang direman enam hari bermula hari ini.

Perintah reman ke atas lelaki berusia lingkungan 50-an hingga Isnin depan itu dibenarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin selepas mendapat permohonan SPRM hari ini. 

Suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kemaman kira-kira 12.30 tengah hari semalam. 

Lelaki berkenaan turut disyaki mengemukakan senarai nama asnaf berstatus miskin yang mengandungi maklumat palsu kepada badan kebajikan syarikat swasta di Kerteh termasuk isterinya bagi untuk mendapat zakat daripada syarikat tersebut.

Suspek ditahan di lokap Balai Polis Chukai bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Menurutnya, tangkapan itu dilakukan  susulan penahanan pengerusi masjid dan isterinya dua hari lalu.

Semalam RTM melaporkan seorang pengerusi masjid direman selama enam hari sehingga Ahad depan selepas disyaki melakukan salah guna kuasa dengan menyenaraikan individu bukan miskin termasuk isterinya bagi mendapat zakat pada April lalu. 

Bagaimanapun isteri kepada pengerusi masjid tersebut dilepaskan dengan jaminan SPRM.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE