KUALA LUMPUR, 27 April – Lagu raya bertajuk Serumpun nyanyian MimiFly mencatat kejayaan luar biasa apabila diterima baik dan dinyanyikan semula oleh pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa.
MimiFly meluahkan rasa terharu apabila Serumpun seakan menjadi jambatan perpaduan apabila turut dinyanyikan oleh bangsa lain.
Lagu ciptaan Mimifly bersama Cuurley itu telah merekodkan lebih 8.8 juta tontonan sejak dimuat naik pada 19 Mac lalu.
Keunikan lagu tersebut dipertingkatkan dengan idea kreatif MimiFly yang mengaplikasikan bahasa isyarat sebagai sebahagian daripada persembahan tarian lagu berkenaan.
"Memang niat Mimi supaya kita semua terbuka hati untuk belajar bahasa yang boleh buat kita tiada garis pemisah dengan orang kurang upaya (OKU) pendengaran. Niat dia bila datang dengan idea itu jadi sekarang pelbagai sudut golongan tak kira umur dan bangsa semua faham perkataan mudah dan gembira dengan penerimaan bahasa isyarat itu," katanya.
Selepas empat tahun perjalanan seninya agak perlahan, MimiFly mengakui jadualnya kini kembali padat sepanjang Aidilfitri hingga Jun depan berkat sambutan luar biasa terhadap Serumpun.
Beliau turut memaklumkan beliau kini sedang merancang untuk menghasilkan single baharu selepas kejayaan lagu tersebut.