fb fb fb fb fb

'Raja Dusta' buah tangan terbaharu Diana Danielle

Diana Danielle

KUALA LUMPUR, 21 April- Penyanyi dan pelakon Diana Danielle, kembali mewarnai dunia muzik dengan lagu terbaharunya berjudul "Raja Dusta."

Lagu berkenaan merupakan sebuah karya penuh keberanian dan sindiran 'nakal' yang memberi ruang untuk wanita dan lelaki meraikan kebebasan selepas melepasi hubungan toksik.

Menurut Diana lagu tersebut tidak ditujukan kepada sesiapa secara spesifik selain cerminan kepada kekuatan wanita yang sering terperangkap dalam budaya misoginis yang menjadikan mereka mangsa penderitaan secara senyap.

"Saya mahu menghasilkan sesuatu yang lebih rancak dan menyeronokkan, sebagai satu sindiran terhadap situasi saya sekarang. Walaupun saya boleh kaitkan lagu ini dengan pengalaman peribadi, ia bukan ditujukan kepada sesiapa secara spesifik.

"Lagu ini mewakili apa yang ramai wanita alami dalam perhubungan seperti janji palsu, harapan yang dimanipulasi, dan akhirnya keberanian untuk bebaskan diri," katanya.

Menurut Diana 'Raja Dusta' sebuah karya untuk semua meskipun lirik lagu ini dibawakan dari perspektif seorang wanita dan berpendapat bahawa mesej lagu tersebut adalah universal dan boleh dikaitkan oleh sesiapa sahaja.

"Saya mahu pendengar menikmati lagu ini tanpa rasa benci. Ia mengenai keberanian dan kebebasan untuk membuat keputusan terbaik untuk diri sendiri. Kita semua pernah berada dalam hubungan yang berat sebelah.

"Jadi, lagu ini adalah peringatan supaya jangan tertipu dengan kata-kata manis jika perbuatan tidak seiring," katanya.

Berkongsi lanjut mengenai lagu ini, Diana berkata, rakaman 'Raja Dusta' merupakan kali pertama dia bekerjasama dengan penerbit John Jeeves.

Pada awalnya Diana sedikit kekok susulan sudah dua tahun tidak muncul dengan lagu baharu, namun ia disifatkan sebagai permulan baik untuk kembali aktif dalam bidang muzik.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI