fb fb fb fb fb

“Saya menyanyi kerana mahu menghargai warga KKM” - Siti Nurhaliza

Foto Instagram Datuk Seri Siti Nurhaliza

KUALA LUMPUR, 23 April- Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza kesal berhubung dakwaan yang dikeluarkan dalam pelaporan berita tempatan termasuk menerusi media sosial susulan persembahannya pada Majlis Rumah Terbuka dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Kesihatan (KKM).

Siti Nurhaliza menerusi hantaran Instagram memaklumkan bahawa, beliau menghadiri majlis berkenaan sebagai tetamu dan bukan artis yang diundang untuk membuat persembahan.

Menurut anak kelahiran Lipis, Pahang itu perkara tersebut perlu diberi penjelasan kerana menerusi pelaporan yang diterbitkan dan komen-komen yang ditinggalkan pengguna media sosial memberi tafsiran negatif kepada beliau dan KKM.

"Anda nak menuding jari atau menzahirkan rasa, pandangan atau sesuatu berkaitan mana-mana badan, jabatan dan sebagainya, jangan kaitkan dan bangkitkan sesuatu yang akhirnya jadi fitnah dan saya pula antara yang diperkatakan dan jadi mangsa tohmahan secara tak langsung.

"Saya diundang sebagai tetamu, saya hadir dan datang menyantuni majlis, dan saya dengan rela hati membuat persembahan (saya tidak diundang atas kapasiti artis yang membuat persembahan). 

"Saya hanya ingin menghiburkan semua yang ada semalam, malah saya turut ke majlis-majlis lain dan kebanyakan tahu, saya akan menyanyi jika keadaan mengizinkan. 

"Kepada semua yang menyampaikan hal palsu ini, baik media, individu, netizen, saya berharap agar anda sedar akan implikasi fitnah kepada seseorang," luah Siti Nurhaliza menerusi hantaran itu.

Pelantun lagu Tanpa Dendam Di Hati itu turut nenyatakan bahawa persembahan pada majlis berkenaan dilakukan dengan rela hati selain untuk menghiburkan warga KKM.

Dalam pada itu, beliau juga mahu semua pihak bertanggungjawab dalam setiap pelaporan berita yang disampaikan agar ia tidak mengundang fitnah dalam kalangan masyarakat sekali gus boleh menjejaskan perjalanan kerier anak seni tempatan.

"Pastikan sesuatu yang sahih baru menulis kerana fitnah, komen, petikan nama, gambar, ulasan yang tidak benar ini memberikan implikasi yang sangat tidak baik. Walhal saya seikhlas hati menghiburkan tanpa bayaran pada majlis yang diperkatakan itu," tulisnya menutup hantaran berkenaan.

Majlis semalam turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Kesihatan Satuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni, warga KKM serta tetamu yang hadir.

 

 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI