fb fb fb fb fb

Erma Fatima tegas angkat isu taboo dalam karya seni

Penerbit dan pengarah, Erma Fatima kekal optimis menghasilkan karya yang mengetengahkan realiti kehidupan / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 April – Penerbit dan pengarah tersohor, Erma Fatima kekal optimis dalam menghasilkan karya-karya yang membuka mata masyarakat dengan mengetengahkan realiti kehidupan sebenar.

Walaupun dua drama terbaharunya menerima kecaman kerana membawa isu sensitif seperti sumbang mahram dan penunggang agama, Erma tetap teguh dengan pendiriannya untuk mendidik masyarakat melalui hasil karyanya.

Menurut Erma, masyarakat perlu lebih peka terhadap hakikat bahawa isu sumbang mahram dan ajaran sesat semakin berleluasa, dan institusi kekeluargaan harus memainkan peranan penting dalam melindungi kaum wanita yang sering menjadi mangsa.

"Kita ada matlamat yang kita nak perjuangkan dalam naskhah. Meskipun dapat kecaman, kita dapat bertahan lagi, Alhamdulillah. Yang paling utama, pihak JAKIM sudah tonton. Kita tak mampu puaskan hati semua orang. Ini isu taboo, jarang dalam drama, jadi bila kita hendak cuba buat kelainan pasti dapat tentangan. Tentangan yang baik, yang benar kita ambil," katanya.

Erma turut berkongsi bahawa beliau menerima beberapa tawaran daripada produksi filem di Indonesia yang berminat untuk mengadaptasi drama arahannya menjadi filem.

Tambah beliau, isu yang dibawa dalam drama berkenaan juga sangat dekat dengan realiti masyarakat di negara jiran itu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN