fb fb fb fb fb

SOM 2024: Didik generasi muda nilai estetika muzik tradisional

Foto Istana Budaya

SHAH ALAM, 23 November- Program Jangkauan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM): Sounds of Malaysia (SOM) melabuhkan tirai tahun 2024 di RCDBIG Studio, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada Sabtu ini.

Membawa tema OTM x Asmidar featuring Datuk Andre Goh & Khai Bahar, SOM 2024 bertujuan memperkenalkan keunikan OTM kepada masyarakat melalui pelbagai jenis alat muzik tradisional.

Menurut Pengarah Persembahan, Ramli Lani, selain menyajikan hiburan berskala besar, program itu turut mendidik generasi muda tentang keindahan dan nilai estetika muzik tradisional Malaysia.

Katanya, SOM 2024 memberi fokus kepada lagu-lagu tradisional seperti inang, zapin, asli, dan joget.

"Persembahan SOM 2024 dibahagikan kepada empat segmen. Segmen pembukaan menyaksikan persembahan oleh Dhiya Suhaili sebagai pengenalan program, diikuti persembahan memukau Asmidar.

"Segmen ketiga menampilkan medley lagu rakyat yang diiringi tarian rakyat oleh Artis Tari Istana Budaya, manakala acara kemuncak menyaksikan persembahan oleh Andre Goh bersama Khai Bahar," katanya menerusi kenyataan.

Program berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, sebagai tetamu kehormat.

Dengan kemasukan percuma, orang ramai dijemput hadir untuk menikmati persembahan hebat yang menggamit nostalgia muzik tradisional Malaysia.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM