PUTRAJAYA, 22 November- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengucapkan tahniah kepada pasukan produksi filem Abang Adik yang merangkul Anugerah Filem terbaik dalam ASEAN World Film Festival (AWFF) 2024 yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat.
"Kita angkat untuk mewakili Malaysia merebut Oscars. Filem tersebut telah berjaya mengetepikan 15 filem lain dari seluruh Asia," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat kabinet.
Bintang utamanya Wu Kang-ren yang membawakan watak Abang turut memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi kategori Feature Snow Leopard.
Filem terbitan More Entertainments Sdn Bhd karya sutradara Jin Ong itu sebelum ini telah merangkul 19 anugerah antarabangsa, satu pencapaian yang membuktikan filem Malaysia mampu bersaing dan menyerlah di peringkat global.
Antara pencapaian tertinggi Abang Adik ialah Anugerah Filem Terbaik di Festival Filem Asia New York (Uncaged Competition ke-22), dan merangkul Golden Mulberry, Black Dragon Critics' Award, serta White Mulberry Award untuk Filem Cereka Terbaik di Far East Film Festival ke-25 di Udine, Itali.
Selain itu, filem berkenaan juga menerima pengiktirafan di Festival Filem Antarabangsa Fribourg ke-37, Switzerland dan Festival Filem First di China.
Filem ‘Abang Adik’ turut mencatatkan kejayaan luar biasa di China dengan kutipan mencecah RM2.2 juta setakat 30 September lepas selepas mula ditayangkan pada 21 September 2024.
Selain, kutipan pecah panggung RM14.6 juta di Taiwan dan RM1.55 juta di Hong Kong, menjadikannya filem Malaysia pertama mencatatkan rekod tayangan tertinggi.