KUALA LUMPUR, 20 November- Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini mengesahkan bahawa pelakon Diana Danielle dan suaminya Farid Kamil adalah sah sebagai suami isteri berikutan pasangan selebriti itu telah rujuk dalam tempoh idah pada Ogos tahun lepas.
Peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 32, selaku plaintif berkata Farid atau nama penuhnya Farid Kamil Zahari, 43, sebagai defendan tidak membantah permohonan rujuk yang dikemukakan Diana susulan penceraian kali pertama yang berlaku antara pasangan itu pada 10 Ogos tahun lepas.
“Hakim Syarie Abdul Fattah Kamarudin berpuas hati dengan permohonan rujuk itu dan telah memberi perintah bahawa kedua-dua pihak telah kembali sebagai suami isteri pada tarikh rujuk (31 Ogos 2023).
“Mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak mendapatkan sijil perakuan rujuk di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan bawa ke mahkamah untuk tujuan permohonan kedua iaitu permohonan cerai kerana itu adalah bukti mereka telah kembali sebagai suami isteri,” kata peguam itu kepada pemberita selepas sebutan kes itu.
Akberdin berkata mahkamah menetapkan 2 Dis ini untuk prosiding sebutan kes bagi permohonan cerai yang difailkan Diana.
“Isu rujuk sudah selesai hari ini dan status mereka sebagai suami isteri sudah endorse oleh mahkamah. Pada tarikh akan datang, Diana akan kembali ke mahkamah bagi permohonan cerai yang difailkan terhadap Farid.
“Sekiranya Farid tidak bersetuju untuk bercerai pada prosiding akan datang, maka kedua-dua pihak perlu melalui proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan seterusnya. Sekiranya Farid setuju untuk bercerai, lafaz cerai akan jatuh sebagai talak dua,” kata peguam itu.
JKP terdiri daripada ahli keluarga yang rapat dengan pasangan terbabit bagi memberi nasihat serta mencari jalan penyelesaian dalam kemelut rumah tangga.
Sementara itu, peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Farid berkata anak guamnya tidak membantah mengenai permohonan rujuk tersebut.
“Proses penceraian tidak boleh diteruskan pada hari ini kerana dokumen berkaitan perlu diselesaikan terlebih dahulu. Pada tarikh akan datang, proses mahkamah sememangnya kita sudah bersedia, namun keputusan (untuk cerai) masih belum ada,” katanya.
Diana yang memakai jubah berwarna hitam tiba di mahkamah pada 9.16 pagi berasingan dengan Farid yang hadir mengenakan kurta berwarna putih dan bersongkok.
Farid ketika ditemui pemberita berkata beliau telah melafazkan rujuk terhadap Diana pada 31 Ogos 2023 selepas Isyak dengan lafaz “Saya Farid Kamil berhasrat untuk merujuk Diana Danielle untuk menjadi isteri saya yang sah”.
“Sebenarnya hari ini saya bersyukur sangat dan saya nak ambil anak saya yang paling cantik (Nur Aurora) di sekolah untuk sambut hari kelahirannya,” kata pelakon dan pengarah filem itu.
Pada 4 Nov lepas, Diana memfailkan permohonan cerai kali kedua terhadap Farid mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, atas alasan tiada sefahaman dan berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan.
Pada 10 Mac 2023, pelakon utama filem Imaginur itu memfailkan permohonan cerai terhadap Farid di Mahkamah Syarikah Petaling, Subang Bistari kerana tiada persefahaman dan berlaku shiqaq serta tidak lagi mampu hidup bersama sebagai suami isteri.
Pasangan itu sah bercerai talak satu menerusi aplikasi Google Meet pada 10 Ogos tahun lepas, namun mereka telah rujuk hampir sebulan kemudian.
Farid dan Diana yang sah menjadi suami isteri dengan sekali lafaz pada 3 Nov 2012 dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.- BERNAMA