fb fb fb fb fb

Siti Nurhaliza, Judika bergabung dalam 'The Journey of Sound'

Judika (kiri) dan Datuk Seri Siti Nurhaliza

KUALA LUMPUR, 11 Oktober- The Journey of Sound Datuk Seri Siti Nurhaliza & Judika julung kali diadakan Universe Gateway akan menemui peminat pada 14 Disember depan.

Kolaborasi dua penghibur nusantara itu pastinya memukau semua peminatnya pada konsert berkenaan dalam melestarikan 'persahabatan' dua negara iaitu Malaysia-Indonesia menerusi bidang hiburan.

Penganjur Universe Gateway dalam satu kenyataan berkata, pesona kedua-dua personaliti itu mempunyai magis tersendiri selain memiliki pengalaman nyanyian lebih 20 tahun dalam industri seni.

Ketua Pegawai Kewangan daripada Universe Gateaway Isa berkata, konsert berkenaan akan menjadi panggung kedua-dua penyanyi hebat itu mempersembahkan sesuatu yang di luar jangkaan.

"Kami di Universe Gateway sangat berbesar hati menganjurkan The Journey of Sound yang menampilkan kolaborasi dua figura hebat dunia hiburan Nusantara iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Judika di Stadium Merdeka pada 14 Disember 2024 ini.

"Mungkin khalayak sudah pernah menonton Siti Nurhaliza dan Judika berduet atau satu pentas sebelum ini tapi percayalah The Journey of Sound akan menjadi panggung yang menyaksikan mereka mempersembahkan sesuatu yang di luar jangkaan anda.

"The Journey of Sound akan menjadi konsert mega daripada dua penyanyi daripada negara berbeza namun dengan tujuan sama iaitu mengukuh dan mengeratkan silaturahim peminat muzik di Nusantara," katanya.

1110 HI KONSERT SITI JUDIKAPoster konsert The Journey of Sound

Pengalaman 28 tahun Siti Nurhaliza sebagai penghibur telah melakar pelbagai sejarah dan pengiktirafan serta membawa nama Malaysia dikenali dunia.

Manakala Judika atau nama sebenarnya, Judika Nalon Abadi Sihotang yang telah memulakan kariere pada usia 20 tahun bakal menjadikan The Journey of Sound konsert yang rugi jika dilepaskan.

"The Journey of Sound akan dipenuhi warna warni perjalanan seni dan 'bunyi' muzik yang telah mengharumkan nama Siti Nurhaliza dan Judika sepanjang perjalanan seni mereka," tambah Isa.

Sementara itu Judika melahirkan keterujaan dan berbesar hati untuk berkolaborasi dengan penyanyi yang disegani dan dihormati, Siti Nurhaliza biarpun sebelum ini beliau pernah menyanyikan lagu duet Kisah Ku Inginkan bersama figura yang sinonim dengan gelaran penyanyi nombor satu Malaysia.

"Tentu sahaja saya tidak punya alasan untuk menolak satu panggung bersama Dato Sri Siti Nurhaliza yang saya hormati, apa lagi berkolaborasi dengan beliau dalam sebuah konsert berjudul The Journey of Sound.

"Saya tidak boleh menjanjikan bulan dan bintang tetapi percayalah anda akan menikmati sebuah pengalaman luar biasa di The Journey of Sound bukan hanya kerana saya dan Siti Nurhaliza selaku subjek utama tetapi bagaimana keseluruhan produksi konsert ini mempersembahkan konsep yang spektakular untuk ditonton," kata Judika.

Tiket akan dijual pada harga RM 199 hingga RM 1,299 yang akan bermula 12 Oktober ini menerusi TICKET2U.COM.MY.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI