BUKIT JALIL, 27 Oktober- Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza melahirkan rasa marah dan sedih atas apa yang berlaku di Gaza, Palestin.
Siti berkata, masyarakat yang mempunyai sifat kemanusiaan akan terkesan apabila menyaksikan ribuan mangsa perang majoritinya adalah kanak-kanak, wanita dan orang tua.
Justeru, semua individu perlu bersatu menunjukkan tanda solidariti kepada rakyat Gaza yang ditindas Israel sejak sekian lama.
"Umat Islam atau bukan beragama Islam turut terasa dengan apa yang berlaku sekarang ini, lebih-lebih lagi apabila melihat anak-anak yang tidak berdosa, wanita-wanita (menjadi mangsa).
"Sesiapa sahaja yang mempunyai hati dan perasaan, ada sifat kemanusian akan turut terasa dengan apa yang berlaku ini," katanya kepada pemberita di sini.
Sementara itu, dia mewakili Yayasan Nur Jiwa berdoa agar sekolah yang dibina di Gaza oleh yayasannya itu tidak diserang oleh zionis.
"Alhamdulilah, sekolah saya masih selamat, sekarang ini ia dijadikan penempatan untuk mereka yang kehilangan tempat tinggal.
"Saya berdoa semoga sekolah saya itu tidak dibom, anak-anak saya tidak dibom.
"(Semoga) cepatlah peperangan ini dihentikan. Kita semua merasai apa yang seluruh rakyat Palestin rasa," ujarnya dengan sebak.
Dia turut menyeru agar umat Islam terus menitipkan doa untuk kesejahteraan dan keselamatan rakyat Palestin terutama penduduk Gaza.