fb fb fb fb fb

RTM terbit drama Tamil “Neethan En Annan" khas sempena Deepavali

“Neethan En Annan" bakal bersiaran mulai 8 hingga 12 November ini, jam 2.30 petang di TV2.

KUALA LUMPUR, 2 November – Sempena sambutan perayaan Deepavali bakal diraikan pada 12 November ini, Unit Drama TV RTM (UDTV RTM) menerbitkan drama Tamil empat episod bertajuk “Neethan En Annan" (Kau Abang Aku) yang bakal bersiaran mulai 8 hingga 12 November ini, pukul 2.30 petang di TV2.

Menurut pengarahnya, Wan Afzam Wan Daud, drama tersebut menggunakan Bahasa Tamil sepenuhnya, begitu juga pemilihan pelakon yang kesemuanya berbangsa India.

Drama itu menjalani penggambaran di sekitar Cameron Highland, Pahang. Galur cerita “Neethan En Annan” membawa mesej sangat jelas mengenai hubungan adik beradik tidak akan terputus walaupun berlaku persengketaan.

Ia ibarat pepatah melayu “air yang dicincang takkan putus”, begitulah hubungan adik beradik yang sentiasa kekal hingga akhir hayat, kata Afzam.

Mengangkat kisah kekeluargaan, plot cerita Kau Abang Aku mengenai suka dan duka hubungan dua adik beradik bernama Ramesh dan Rohit.

Si adik, Ramesh seorang yang periang dan suka berangan. Ramesh yang hanya menjadi jurufoto sambilan kemudiannya bekerja di sebuah Villa milik abangnya, Rohit.

Biarpun sering tidak sefahaman, namun Ramesh akur bahawa abangnya lebih berjaya dalam kerjaya berbanding dirinya. Sebagai pekerja di Villa milik abangnya, Ramesh tetap
bertahan dengan kata-kata abangnya yang kadangkala menyakitkan hati. Dia tidak mengetahui yang Villa milik abangnya itu mempunyai masalah.

Konflik bermula apabila Ramesh mula jatuh cinta pada seorang gadis bernama Kaasini, seorang penjual bunga. Tanpa disedari, Kaasini adalah kekasih abangnya. Dari situ,
berlaku perselisihan faham antara dua adik beradik itu.

Sikap iri hati, dengki dan pentingkan diri sendiri memakan diri abangnya. Ramesh cuba memperbaiki keadaan dan berusaha membina semula hubungan dengan Rohit.

“Neethan En Annan” menampilkan pelakon Daview Puvanan sebagai Ramesh, Thevaguru (Rohit), Hamsni Perumal (Kaasini) juga Devakanni, Sasikumar, Haridhass, Sasitharan K Rajoo, Shabby dan Khesshikah.

Usah ketinggalan menyaksikannya, Deepavali ini menerusi saluran TV2 atau boleh tonton menerusi penstriman langsung RTMKlik (www.rtmklik.rtm.gov.my).

ZEHRA BINTI ZAMBRI